Friday, September 17, 2010

TAJUK: Peranan institusi agama di kariah anda dan peranannya.

                Tugasan Kerja Kursus CTU101



DISEDIAKAN UNTUK:
Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah CTU101


DISEDIAKAN OLEH:
Muhammad Syahir Bin Roslam
No Matrik : 2010285868
Kumpulan: ECD1De


PROGRAM:
Diploma Kejuruteraan Awam
(EC110)

TARIKH HANTAR:
25 September 2010


Isi Kandungan
1.              Abstrak
2.              Pendahuluan
3.      Pengertian Institusi Agama
4.      Peranan Institusi Agama
5.      Penutup


Peranan institusi agama di kariah saya dan peranannya.
Disediakan untuk:  Ustaz Abd. Aziz b. Harjin
Disediakan oleh:  Muhammad Syahir Bin Roslam

Abstrak
            Islam merupakan agama yang sempurna dan tinggi kedudukannya. Nilai-nilai Islam perlu dilaksanakan untuk mengecapi sebuah masyarakat yang bahagia. Ia merupakan salah satu keperluan yang amat penting bagi umat manusia di muka bumi ini. Ini adalah untuk memenuhi kehendak naluri manusia. Salah satu cara untuk memenuhi kehendak ini adalah melalui pembentukan institusi agama yang penuh dengan peranan yang sepatutnya wujud . Justeru itu islam menyediakan satu garis panduan yang merangkumi asas-asas untuk memimpin manusia mencapai kebahagiaan yang mereka mahukan sekali gus mendapat keredaan Allah

           Peranan institusi agama amat penting bagi umat Islam. Malah kepentingannya dirasa oleh semua golongan di atas muka bumi ini. Adapula yang mengatakan bahawa institusi agama diperlukan untuk faedah masyarakat bermusyawarah, beribadat secara berjemaah seperti masjid. Adapula yang mengatakan institusi agama diperlukan untuk mengajar hal-hal agama ataupun ukhrawi contohnya sekolah agama pondok. 


Pendahuluan

            Sebagaimana yang telah kita ketahu sejak dahulu lagi institusi agama adalah sesuatu organisasi yang bertujuan bagi mengembangkan agama Islam  dan membimbing masyarakat dalam menuntut ilmu ukhrawi  yang merangkumi semua ilmu agama sama ada ilmu feqah,ilmu tauhid, ilmu hukum alam, akidah dan lain lain. Antara contoh institusi agama adalah seperti masjid, sekolah pondok, madrasah, PERKIM iaitu Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia , dan juga semua pusat perkembangan umat Islam.

         Kita dapat lihat daripada peristiwa penghijrahan Rasulullah dari Mekah ke Madinah dan perkara yang pertama-tama sekali yang dilakukan oleh baginda ialah membina sebuah masjid iaitu salah satu institusi agama yang diberi nama Masjid Quba. Ini menunjukkan bahawa betapa pentingnya institusi agama dalam agama Islam serta memberi kesan kepada ketamadunan umat Islam itu sendiri.

Definisi Masjid

            Masjid adalah rumah Allah untuk beribadat kerana itu kesucian dan kemuliaannya hendaklah dipelihara. Segala amalan atau perkara yang dianggap boleh mencemarkan kesucian institusi agama tidak boleh dilakukan di dalamnya.
         
        Institusi agama juga bukan untuk tatapan dan ibadat sembahyang pada hari dan waktu tertentu saja. Sebaliknya, ia adalah pusat dan nadi kegiatan ummah, sama ada dari segi kerohanian atau keduniaan seperti kegiatan yang menyentuh perhubungan antara manusia dan pencipta (Allah). Begitu juga, perhubungan manusia sesama mereka sendiri dalam menguruskan hal ehwal keagamaan, ekonomi, sosial, keilmuan dan pentadbiran negara. Ia adalah tempat melaksanakan segala kegiatan manusia yang mencerminkan kepatuhan dan ketaatan kepada Allah. 

Al-Quran menjelaskan fungsi masjid di dalam firmanNya :

36. (Nur hidayah petunjuk Allah itu bersinar Dengan nyatanya terutama sekali) di rumah-rumah Ibadat Yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan Ibadat mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang.

37. (Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang Yang kuat imannya Yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) Yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.

                                                                                                            (Surah Al Nur, ayat 36 – 37)



Dalam ayat berkenaan, tasbih atau zikir bukan hanya bererti mengucapkan subhanallah saja, melainkan lebih luas lagi, sesuai dengan makna yang dicakupi oleh perkataan berkenaan serta konteksnya. Sedangkan erti dan konteks berkenaan dapat disimpulkan sebagai takwa.




Kalau dikaji dari segi bentuk fizikal masjid pada zaman Rasulullah, ternyata sifatnya tidak seperti sifat masjid yang dibina di negeri umat Islam pada masa kini. Pada zaman itu, masjid didirikan daripada pelepah tamar dan atapnya daripada daun kurma dan apabila sujud debu melekat pada dahi.

 

Ketika Rasulullah berhijrah ke Madinah, langkah pertama yang baginda lakukan ialah membina masjid. Masjid pertama yang dibina oleh Rasulullah ialah Masjid Quba. Masjid ini didirikan secara bergotong-royong di atas sebidang tanah kepunyaan dua anak yatim. Keadaan masjid itu sangat sederhana, dikelilingi tembok batu bata yang diperbuat daripada tanah liat dan berlantaikan pasir


Ini disusuli pembinaan Masjid Nabawi di Madinah. Jelasnya kedua-dua masjid itu dibina atas dasar ketakwaan sebagaimana yang dijelaskan dalam firman Allah:
  
108. jangan Engkau sembahyang di Masjid itu selama-lamanya, kerana Sesungguhnya Masjid (Qubaa' Yang Engkau bina Wahai Muhammad), Yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya Engkau sembahyang padanya. di Dalam Masjid itu ada orang-orang lelaki Yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah mengasihi orang-orang Yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).
                                                                                                             (Surah Al-Taubah, ayat 108).

Setiap masjid seharusnya memiliki landasan dan fungsi berkenaan. Itulah sebabnya Rasulullah meruntuhkan bangunan kaum munafik yang juga disebut sebagai masjid dan menjadikan lokasi itu tempat membuang sampah-sarap. Ini kerana bangunan itu tidak menjalankan fungsi masjid yang sebenarnya iaitu ketakwaan.


 Latar belakang masjid dan Peranan


  Masjid Semut Api terletak di Pantai Cahaya Bulan(pcb) , Kelantan. Jarak perjalanan dari rumah saya ke masjid ini adalah lebih kurang 100 meter.


       Masjid  menjadi tempat ibadat bagi umat Islam terutamanya sembahyang berjemaah. Masjid juga dijadikan pusat pendidikan Islam kerana di situlah progam keagamaan sering diadakan. Antara program keagamaan adalah seperti berbuka puasa berjemaah, ceramah agama, bacaan yasin berjemaah, qiamulai berjemaah, kuliah maghrib dan subuh dan banyak
lagi.
          Institusi agama ini juga berperanan untuk penduduk di kariah saya bermesyuarat ataupun bersosial di samping merapatkan hubungan silaturrahim sesama muslim. Selain itu, masjid amat berfungsi sebagai institusi pengajian kerana di situlah terdapatnya ilmuan-ilmuan agama, cendekiawan, dan ramai lagi orang yang berpengalaman dalam hal ehwal agama. 

           Di samping itu, masjid dianggap juga sebagai balai pertemuan penduduk di sini sebelum melakukan sesuatu aktiviti kemasyarakatan, contohya bergotong-royong, berkebajikan dan macam-macam lagi.
Biasanya perihal ekonomi  kampong ataupun kariah saya turut dibincangkan di masjid. Contohnya dalam memutuskan urusan ekonomi kariah.  


             Rumah Allah ini jua merupakan pusat ibadat dan mu‘amalah dan juga sebagai salah satu pusat penyebaran Islam.  Ia juga adalah  gedung ilmu pengetahuan yang menyimpan seribu khazanah hikmat. Dengan wujudnya masjid, secara tidak langsung setiap tetamu rumah Allah boleh membentuk akhlak yang mulia dan mengukuhkan lagi keimanan dan ketakwaan kepada Tuhan yang Maha Esa, Allah. Masjid turut jua dijadikan dewan muzakarah dan syura

        Masjid juga menjadi pusat pembentukan keperibadian insan. Ia merupakan pusat yang menghubungkan manusia sesama manusia dan hubungan manusia bersama penciptanya. bagi memperkasa dan memartabatkan umat berpegang kepada Al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Firman Allah dalam surah Al-Mujadalah ayat 11 yang bermaksud : ‘ Allah meninggikan darjat orang-orang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat.


      Institusi Masjid bolehlah dijadikan pusat pelengkap adab, sopan-santun dan sebagainya.Dengan kata lain,Institusi Masjid bolehlah dijadikan "finishing school”. Di masjid Kampung Semut Api, nilai-nilai murni diterapkan dalam diri setiap anak- anak kampung secara tidak formal. Golongan dewasa menjadi  model terbaik untuk kanak-kanak dengan menunjukkan sahsiah diri yang baik, secara tidak langsung anak-ank akn meniru amalan baik yang dilakukan oleh orang dewasa.  Sekiranya anak kecik melakukan sesuatu yang tidak elok semua pihak akan menegur dengan lembut dan memberi tunjuk ajar yang sepatutnya. Anak-anak mudah diajar seusia muda. Anak kampung dididik untuk berkelakuan baik untuk memastikan sahsiah diri terpelihara dan menjamin kekuatan iman serta menjadi anak yang mentaati perintah Allah dan kedua ibu bapa.  Institusi masjid menjadi pelengkap kepada anak-anak kampung.


 Definisi Pondok :

           Institusi pengajian pondok merupakan institusi pendidikan yang tertua di Tanah Melayu. Tidak diketahui dengan tepat bilakah tarikh mulanya sekolah pondok diperkenalkan di Tanah Melayu, yang pasti sekolah pondok wujud tanpa dirancang. Ianya muncul dan berkembang mengikut keperluan dan sambutan orang ramai yang datang belajar di satu-satu tempat yang mempunyai Tok Guru yang mengajar ilmu-ilmu agama.

            Walau bagaimanapun terdapat keterangan mengatakan bahawa sekolah pondok berasal dari Pattani, Selatan Thailand. Ini berdasarkan bahawa Pattani terkenal sebagai Pusat Pelajaran Agama dan Kebudayaan Melayu pada abad ke 16 dan 17 Masihi. Juga berdasarkan pada kurun ke 12 terdapat ramai ulama’ Pattani menyusun kitab-kitab Jawi yang digunakan di pondok-pondok. Kebanyakan Tok Guru menggunakan loghat (dailek) Pattani bila menyampaikan pengajaran mereka khususnya bagi pondok di negeri Kedah dan Perak. Kemungkinan yang kedua: Pondok  berasal dari Kalimantan, Indonesia berdasarkan beberapa buah kitab Jawi yang dibawa dan dibaca di pondok-pondok hasil terjemahan ulama’ Banjar dan Jawa.
   
              Perkataan “pondok” berasal dari bahasa arab yang bermaksud khemah: sebagai tempat persinggahan sementara bagi pengembara. Istilah pondok termashyur sebagai tempat tinggal yang diduduki oleh pelajar-pelajar yang datang ke satu tempat untuk mempelajarai ilmu-ilmu agama dengan membawa barang-barang keperluan sendiri. Definisi ini menepati pengertian yang diberikan oleh Kamus Dewan yang diertikan bagi madrasah dan asrama tempat belajar agama.

                 Bentuk pondok di Tanah Melayu sama dengan bentuk pondok-pondok yang terdapat di Indonesia, dengan menggunakan istilah pesantren di Jawa, Penjentren di Madura, Rangrang di Acheh, surau di Minangkabau dan Langgar di Sumatera. Ianya diertikan sebagai deretan rumah-rumah yang kecil yang menjadi tempat kediaman pelajar-pelajar agama. Akhirnya ia digunakan bagi gelaran kepada System Pendidikan Tradisional bagi daerah Nusantara yang terkenal dengan sistem Pengajian Pondok.

                   Pondok di Indonesia diperbuat daripada buloh. Di desa yang makmur terdapat pondok-pondok yang diperbuat dari bahan kayu yang baik bertiang dan bertangga kayu. Tangga-tangga pondok dihubungkan ke perigi  oleh sederet batu-batu titian, yang membolehkan pelajar-pelajar yang tidak bersepatu dapat mencuci kaki dan terus naik ke pondok masing-masing.

                    Sekolah-sekolah pondok di Tanah Melayu sebilangan besarnya di kawasan-kawasan penanaman padi seperti negeri Kedah dan Kelantan. Selain dari itu terdapat beberapa kawasan seperti Seberang Prai, Perlis, Terengganu, Selangor, Perak dan Johor.

                   Melalui institusi pengajian pondok ini, Pendidikan Islam terus berkembang dan bertambah secara bersendirian tanpa gangguan dari pemerintah. Perkembangannya mencapai tahap kegemilanganya pada abad ke 19 masihi.


Peranan Pondok :
          
              Institusi pondok sepanjang perkembangan sejarahnya telah meletakkan hala tuju asas yang betul dalam membentuk kefahaman dan pengajian kepakaran dalam bidang-bidang pengajian bahasa dan kesusasteraan, budaya dan peradaban, Syariah, Usuluddin, Tafsir, Tasawwuf, Al-Quran dan Al-Hadith. Masyarakat masih lagi memerlukannya untuk menghadapi perkembangan semasa dan menghadapi realiti yang wujud di hadapan mereka. Untuk itu, mereka memerlukan tenaga-tenaga yang berkemahiran di peringkat kefahaman kepada nas-nas dan kitab-kitab lama warisan ilmuan silam yang dikenali sebagai kemahiran Ta’biri; malah lebih jauh daripada itu masyarakat memerlukan tenaga-tenaga yang berkemahiran tinggi di dalam mentahqiq ilmu dan maklumat yang dikenali sebagai Tahqiqi; juga kemahiran yang tinggi dalam menghalusi permasalahan yang dihadapi yang antaranya tidak terdapat dalam ijtihad ulamak silam yang dikenali sebagai kemahiran Tadqiq. Malah lebih mendalam lagi mereka memerlukan tenaga yang berkemahiran tinggi dalam meneroka masalah yang lebih kompleks yang dihadapi oleh masayarakat pada hari ini yang memerlukan penilitian dan kajian yang mendalam yang merentasi kepelbagaian disiplin ilmu dan kepakaran yang dikenali sebagai kemahiran Ta’miqi.

       Untuk tujuan tersebut, bagi menangani permasalahan dan kegawatan ummah yang berpunca daripada tiga faktor utama iaitu kegawatan kefahaman, kegawatan pentafsiran dan kegawatan pendekatan; perlu ada satu institusi yang dapat menyediakan laluan dan kemudahan melatih dan membimbing kepakaran-kepakaran tersebut untuk kemaslahatan ummah Islam pada masa ini. Kerana itulah institusi sekolah pondok diketengahkan kepada masyarakat Islam di kariah saya sebagai wadah yang dapat memenuhi tuntutan keperluan pada masa kini, yang mana ia dapat menyediakan latihan kepakaran dalam bidang-bidang seperti kemahiran Ta’biri yang bermaksud penyediaan proses untuk melahirkan tenaga mahir yang dapat memahami dan menguasai kefahaman struktur kitab-kitab turath peninggalan ulamak silam,  kemahiran tahqiqi yang bermaksud proses untuk memperdalami secara terperinci, bukan sahaja melibatkan kemahiran Ta’biri malah menguasai semua jenis instrumen keilmuan, qawaid (kaedah)  dan aliran perbahasan ilmiah, juga bidang kemahiran Tadqiqi iaitu proses penguasaan matan , syarah, wajhu istidlal dan istinbat dan akhir sekali kemahiran Ta’miqi iaitu proses yang amat tinggi yang membolehkan penganalisaan dapat dibuat bukan sahaja kepada wajhu istidlal dan istinbat, bahkan dapat menguasai ke peringkat taufiq dan tarjih.
   
        Itulah peranan institusi pondok di kariah saya yang saya perolehi daripada ahli jawatankuasa di salah sebuah sekolah pondok di kariah saya.
  
Kesimpulan


      Justeru, sudah terang lagi bersuluh bahawasanya institusi agama sangat berperanan dan berfungsi bagi mengembangkan lagi syariah Islam di muka bumi ini. Hal ini diperkuatkan lagi dengan sejarah pada zaman Rasulluah dahulu yang mengisahkan perkara pertama yang dilakukan baginda setelah sampai ke madinah iaitu baginda membina masjid yang diberi nama Masjid Kuba. 
    


     Pendek kata institusi agama mengandungi seluruh dasar-dasar yang diperlukan oleh setiap manusia untuk merealisasikan kebahagiaan mereka di dunia dan akhirat. Semuanya itu disediakan dalam susunan yang indah dan menarik yang tidak ada bandingannya, sehingga semua lapisan masyarakat dapat mengambil manfaat darinya sesuai dengan potensi mereka masing-masing.  Konklusinya, setiap masyarakat seharusnya rajin untuk mengimarahkan institusi agama ini bagi mencapai kemenangan di dunia dan di akhirat kelak.


“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum
sehingga kaum itu mengubah nasib mereka sendiri.”




SUMBER RUJUKAN

1.  Al-Qur’an al-Karim
2.  Kamus Dewan (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
3.  Beberapa ahli jawatankuasa Masjid An Nur dan Masjid Semut      Api
i)               Haji  Md Zain Bin Alias
     
4.     Zakaria Stapa. “Fungsi dan Kegunaan Masjid Simbol
    Perpaduan Ummah”, Eksklusif, 21-27 Februari, 2000,
    Malaysia.
5.    Masjid An Nur
6.    Pondok Pasir Tumbuh